21 November 2011

PENJAWAT AWAM PERLU BERSEDIA HADAPI PERKARA BARU DALAM PERKHIDMATAN



SANDAKAN, 19 Nov (Bernama) -- Penjawat awam perlu bersedia menghadapi pelaksanaan tiga perkara baru dalam perkhidmatan awam mulai tahun depan, kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Beliau berkata bagi tujuan tersebut mereka perlu menyiapkan diri di segi kesihatan, prestasi kerja, produktiviti dan kreativiti bagi membolehkan penjawat awam terus berdaya saing memenuhi permintaan pelanggan.

Bercakap kepada pemberita selepas program 'Road Tour' CUEPACS di Hospital Duchess of Kent Sandakan di sini, Omar berkata perkara baru itu ialah pengenalan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), lanjutan umur bersara kepada 60 tahun dan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

"Penambahbaikan ini memerlukan penjawat awam memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai," katanya.

Omar berkata kira-kira 1.3 juta penjawat awam seluruh negara termasuk 140,000 di Sabah akan mendapat manfaat menerusi pelaksanaan tiga perkara baru itu.

Katanya, menerusi penambahbaikan ini sudah pasti mereka perlu tampil lebih cekap, kreatif, produktif dan berintegriti selaras dengan peranan melaksanakan dasar-dasar kerajaan.Bernama

No comments: