01 February 2012

CUEPACS TETAP ENGGAN SERTAI PANEL SEMAK SBPA

 

KUALA LUMPUR: CUEPACS tetap dengan pendiriannya tidak menyertai pasukan petugas khas semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), sekiranya tiga lagi pemimpin kanannya tidak dibenarkan untuk menganggotai pasukan itu.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menegaskan tindakan CUEPACS tidak sepatutnya dilihat sebagai mengugut, sebaliknya menunjukkan pihaknya amat serius untuk memberi input dalam membincangkan penambahbaikan SBPA. “Saya akan hadir mesyuarat kedua yang dijadual 8 Februari ini, sekiranya tiga pemimpin CUEPACS tidak dibenarkan masuk, maka saya akan keluar daripada mesyuarat itu.

“Tidak adil dan tidak wajar apabila ada 19 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dalam pasukan itu, tetapi CUEPACS hanya dibenarkan menghantar satu wakil.

“Kehadiran tiga pemimpin kanan CUEPACS itu bertujuan untuk bersama-sama membangkitkan pelbagai cadangan kerana mereka juga mewakili kesatuan sekerja dan mempunyai maklum balas yang ingin disampaikan kepada pasukan petugas.

“Saya amat berharap pasukan petugas khas itu yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam akan mempertimbangkan rayuan kami,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Tiga pemimpin kanan CUEPACS yang dimaksudkan Omar ialah Timbalan Presiden I, Aziz Muda; Setiausaha Agung, Lok Yim Pheng dan Setiausaha Kewangan, Jaafar Mansor.
Omar berkata, sehingga sekarang ketiga-tiga pemimpin CUEPACS itu masih belum menerima sebarang surat jemputan daripada pasukan petugas khas dan beliau amat berharap perkara itu akan disegerakan sebelum berlangsungnya mesyuarat kedua.

Selain tiga lagi wakil, CUEPACS turut mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan antaranya mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum dan menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong pendirian Omar dan berharap kerajaan akan memberi lebih ruang kepada wakil kesatuan untuk membantu melakukan penambahbaikan skim berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya percaya dengan kehadiran lebih ramai wakil kesatuan sekerja pelbagai isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersama tanpa sebarang masalah.

“Tiga pemimpin kanan CUEPACS itu dapat membantu Omar dalam mesyuarat selain secara bersama-sama dapat membuat keputusan bagi pihak 1.2 juta kakitangan awam,” katanya.

Berita Harian / S Anand Kumar

 

ISU SBPA: 5 TUNTUTAN CUEPACS



Presiden CUEPACS beri kata dua tarik diri jika syarat tidak dipenuhi


  • Kaji semula pindaan gaji Gred 54 ke bawah Kaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum

  • Kaji kekananan dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA

  • Kaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus

  • Semak penstrukturan semula semua gred penjawat awam

    GEORGETOWN: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan tumpuan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan, terutama bagi penjawat awam gred 54 dan ke bawah.Berita Harian/Oleh Fazli Abdullah  

  • 13 January 2012

    PM: Skim Saraan Baru disemak semula



    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.
      
    Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
      
    "Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
      
    Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.
      
    Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
      
    Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

    Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
      
    "Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.
      
    Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.
      
    Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.
      
    Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
      
    Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. Malaysiakini

    01 January 2012

    Buletin Teknologi Makmal Perubatan KKM Bil : 2/2012

    Kata-kata Aluan Presiden KKJMP

    Saya amat bersyukur kerana kita telah menjelmakan transformasi sejak diberi mandat dari tahun 2009-2011 dan  ini bermakna kita akan meninggalkan tahun 2011 dalam lipatan sejarah. Kita juga bersyukur kerana kita masih lagi sihat dan mampu menggalas tugasan yang diamanahkan, Insya'Allah. Mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada sejarah kerana sejarah mengajar kita tentang mengsyukuri kejayaan, sejarah mengajar kita memahami kegagalan dan sejarah menjadikan kita lebih dewasa untuk menyelesaikan masalah. Apabila mendepani masalah atau kekangan, perkara utama yang mesti dilakukan ialah menyelesaikan masalah dan bukan menyesali masalah. Pemimpin yang berkarisma akan melihat kegagalan sebagai tanda kejayaan serta melihat masalah sebagai satu peluang. Tiada kesempurnaan tanpa kepincangan dan kepincangan tidak akan wujud jika sesuatu itu dirancang dan dilaksana dengan baik.


              Kita telah lalui satu laluan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi daripada dalam dan luar sepanjang proses tuntutan untuk memantapkan profesion JTMP kearah peningkatan kerjaya dengan pengujudan skim ijazah. Sejajar dengan itu, sedar atau tidak d akita juga tekah membangkitkan individu-individu yang selama ini lena dibuai mimpi yang indah. Dan ramai yang telah celik dan tampil untuk membantu dan ada juga sering bersendiawra serta terdapat juga individu yang kerap "berkokok ibarat ayam jantan tetapi ekor bergelumang dengan tahi".  Apa pun kita anggap ia sebagai pemangkin dan cabaran untuk melaksanakan yang lebih baik saban hari. Ia juga merupakan asam garam dalam erti kata lain sebagai pemimpin kesatuan. Alhamdulillah, kita sedang menghampiri garisan penamat dalam tuntutan tersebut.


                   Kini sudah sampai masanya kita perlu bergerak lebih agresif dalam menangani pelbagai masalah kearah memantapkan profesion. Oleh yang demikian, kita seru semua untuk berganding bahu dan bersama-sama untuk mereliasasikan tuntutan yang telah digerakkan oleh Kesatuan. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".


                Akhirnya, saya berharap ianya akan menjadi harapan warga JTMP. Saya berharap cita-cita ini menjadi cita-cita serta gagasan warga JTMP semua. Jangan biarkan saya bersendiri mengharungi dengan kepayahan. Jangan biarkan saya bersendiri memasang impian. Kalau usaha kita "melambung ke langit, mari kita sama-sama jadikan bintang, jika bertaburan di udara  kita sama-sama jadikan kerlipan, jika jatuh kebumi sama-sama mencanai menjadi intan permata" .


    "ORANG BIJAK TIDAK CEPAT PUAS HATI DAN SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI"

                 Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai-pegawai kanan KKM terutamanya mantan KPK dan KPK yang ada sekarang, EXCO (2009-2011) dan semua warga JTMP sama ahli atau yang masih belum ahli  yang banyak membantu dalam  usaha Kesatuan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Akhir kata, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saidang redaksi atas ketekunan dan kegigihan dalam menerbitkan buletin ini.

    "KUNCI KEJAYAAN TERLETAK PADA CARA PEMIKIRAN ANDA"

    Sekian, Terima kasih.

    Mohd Khairul Adnan Abdullah
    Presiden KKJMP