13 January 2012

PM: Skim Saraan Baru disemak semula



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula.
  
Semakan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu berkaitan dengan pelaksanaan SBPA.
  
"Setelah semakan semula tersebut dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata Jemaah Menteri semalam memutuskan supaya pelaksanaan SBPA itu disemak semula.
  
Katanya semakan SBPA itu dibuat setelah berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
  
Najib berkata semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini.

Najib juga berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah diminta menentukan mekanisme semakan semula yang akan dijalankan.
  
"Adalah diharapkan semakan semula itu akan diterima oleh semua pihak," katanya.
  
Satu kenyataan mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat, katanya.
  
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari ini, bagaimanapun mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lepas.
  
Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
  
Dalam skim baru itu, hierarki Perkhidmatan Awam terdiri daripada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier; Kumpulan Pengurusan Tertinggi; Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana. Malaysiakini

01 January 2012

Buletin Teknologi Makmal Perubatan KKM Bil : 2/2012

Kata-kata Aluan Presiden KKJMP

Saya amat bersyukur kerana kita telah menjelmakan transformasi sejak diberi mandat dari tahun 2009-2011 dan  ini bermakna kita akan meninggalkan tahun 2011 dalam lipatan sejarah. Kita juga bersyukur kerana kita masih lagi sihat dan mampu menggalas tugasan yang diamanahkan, Insya'Allah. Mahu atau tidak, kita perlu kembali kepada sejarah kerana sejarah mengajar kita tentang mengsyukuri kejayaan, sejarah mengajar kita memahami kegagalan dan sejarah menjadikan kita lebih dewasa untuk menyelesaikan masalah. Apabila mendepani masalah atau kekangan, perkara utama yang mesti dilakukan ialah menyelesaikan masalah dan bukan menyesali masalah. Pemimpin yang berkarisma akan melihat kegagalan sebagai tanda kejayaan serta melihat masalah sebagai satu peluang. Tiada kesempurnaan tanpa kepincangan dan kepincangan tidak akan wujud jika sesuatu itu dirancang dan dilaksana dengan baik.


          Kita telah lalui satu laluan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi daripada dalam dan luar sepanjang proses tuntutan untuk memantapkan profesion JTMP kearah peningkatan kerjaya dengan pengujudan skim ijazah. Sejajar dengan itu, sedar atau tidak d akita juga tekah membangkitkan individu-individu yang selama ini lena dibuai mimpi yang indah. Dan ramai yang telah celik dan tampil untuk membantu dan ada juga sering bersendiawra serta terdapat juga individu yang kerap "berkokok ibarat ayam jantan tetapi ekor bergelumang dengan tahi".  Apa pun kita anggap ia sebagai pemangkin dan cabaran untuk melaksanakan yang lebih baik saban hari. Ia juga merupakan asam garam dalam erti kata lain sebagai pemimpin kesatuan. Alhamdulillah, kita sedang menghampiri garisan penamat dalam tuntutan tersebut.


               Kini sudah sampai masanya kita perlu bergerak lebih agresif dalam menangani pelbagai masalah kearah memantapkan profesion. Oleh yang demikian, kita seru semua untuk berganding bahu dan bersama-sama untuk mereliasasikan tuntutan yang telah digerakkan oleh Kesatuan. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".


            Akhirnya, saya berharap ianya akan menjadi harapan warga JTMP. Saya berharap cita-cita ini menjadi cita-cita serta gagasan warga JTMP semua. Jangan biarkan saya bersendiri mengharungi dengan kepayahan. Jangan biarkan saya bersendiri memasang impian. Kalau usaha kita "melambung ke langit, mari kita sama-sama jadikan bintang, jika bertaburan di udara  kita sama-sama jadikan kerlipan, jika jatuh kebumi sama-sama mencanai menjadi intan permata" .


"ORANG BIJAK TIDAK CEPAT PUAS HATI DAN SENTIASA MEMPERBAIKI DIRI"

             Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai-pegawai kanan KKM terutamanya mantan KPK dan KPK yang ada sekarang, EXCO (2009-2011) dan semua warga JTMP sama ahli atau yang masih belum ahli  yang banyak membantu dalam  usaha Kesatuan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Akhir kata, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saidang redaksi atas ketekunan dan kegigihan dalam menerbitkan buletin ini.

"KUNCI KEJAYAAN TERLETAK PADA CARA PEMIKIRAN ANDA"

Sekian, Terima kasih.

Mohd Khairul Adnan Abdullah
Presiden KKJMP