23 December 2011

TARIKH TERIMA OPSYEN SBPA DILANJUTKAN KE-15 JAN, OPSYEN PERSARAAN 60 TAHUN KEKAL 30 DISEMBER 2011



PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam sehingga 15 Jan depan.

Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun bagaimanapun kekal pada 30 Dis ini, demikian diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias di sini.

Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Dis lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.

Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk 'Exit Policy' yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.

"Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu," katanya.

Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.

Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan hari ini mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama hari ini merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.

Omar berkata lima perkara yang telah dibangkitkan oleh Cuepacs ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.

Katanya opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.

Beliau berkata rundingan hari ini turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.

"Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar," katanya.

Mengenai 'Exit Policy', Omar berkata rundingan hari ini mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.

Katanya langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil Cuepacs akan hadir untuk memberi pandangan.

"Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, Cuepacs akan hadir sebagai pemerhati, dan dari situ kita akan selesaikan.

"Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal," katanya.

Omar berkata satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara Cuepacs dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.

Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. Bernama

22 December 2011

Cuepacs: PM setuju tangguh pelaksanaan SBPA


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan skim sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan untuk dirunding semula dengan penjawat awam.
Utusan Online melaporkan beliau berkata demikian kepada sekumpulan ahli kongres itu di perkarangan bangunan Perdana Putra selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Putrajaya hari.

Omar dijadualkan mengadakan satu sidang akhbar di Universiti Putra Malaysia tengah hari ini berhubung isu itu.

Sumber pautan disini

21 December 2011

Pelbagai penambahbaikan skim baru penjawat awam masih samar, tiada hitam putih



BUDAYA mengugut seperti didakwa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya 1.4 juta kakitangan awam ‘menandatangani borang kosong’ opsyen penerimaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh dua minggu, mulai 16 Disember lalu perlu diselesaikan segera kerana ia bukan perkara mudah seperti dianggap JPA. Kekecewaan diluahkan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman sehingga mahu mengadu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis ini, khususnya mengenai kelemahan skim baru berkenaan seharusnya membuka mata kepada pelbagai pihak, khususnya Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Abu Bakar Abdullah. Mekanisme pelaksanaan skim pemisah atau exit policy dalam SBPA bagi mereka yang menerima markah kurang daripada 70 peratus bagi tiga tahun berturut-turut selepas penilaian dibuat pegawai mereka, sekali gus boleh dibersarakan awal berbanding 50 peratus ketika Skim Saraan Malaysia (SSM) dan kegagalan JPA menyediakan jadual tangga gaji SBPA untuk diteliti kakitangan awam menjadi isu pokok yang dipertikaikan CEUPACS.

Ini belum lagi membabitkan soal kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. Paling janggal apabila JPA tidak memanggil langsung wakil CUEPACS ketika merangka SBPA, sedangkan ia membabitkan masa depan 1.4 juta kakitangan awam.

“Saya yakin Perdana Menteri tidak tahu wujud kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab (JPA) menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham masalah kami.

“Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim itu sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri,” kata Omar ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM), tiga hari lalu.
SBPA diumumkan Najib ketika membentangkan Bajet 2012 pada Oktober lalu bagi menggantikan SSM mulai awal tahun depan, menawarkan pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam melalui skim pencen, pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus, elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Matlamat murni SBPA mahu mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi pada masa depan pastinya akan menempuh onak dan duri jika pada peringkat mahu dilaksanakan lagi menimbulkan pelbagai persoalan, selain mendapat bantahan kesatuan yang memayungi perkhidmatan awam.

“Ini hanya mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar minum bersama pegawai di kantin pejabat supaya mereka dinilai dengan markah yang baik setiap tahun,” kata Omar.

Sama ada sedar atau tidak, JPA seharusnya memikirkan kesan jangka panjang yang perlu ditanggung kerajaan, terutama ketika kepemimpinan negara di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) sedang rancak menyusun strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi.

Mahu atau tidak, perlu diakui, Parlimen Putrajaya menempatkan pusat pentadbiran kerajaan amat memerlukan sokongan kakitangan kerajaan yang ketika ini menjadi 90 peratus daripada pengundi di kawasan itu. Paling menarik, 90 peratus daripada pengundi di situ adalah daripada kumpulan sokongan.

Hakikatnya, kakitangan awam adalah penyokong kuat kerajaan dan sewajarnya suara hati mereka didengar dan diberikan perhatian. Mereka bukan meminta di luar kemampuan kerajaan, sebaliknya mengharapkan kerajaan membela hak atau sekurang-kurangnya mendengar dulu masalah mereka. Ini peluang terbaik bagi kerajaan, khususnya JPA mendengar rungutan mereka sebelum PRU-13 datang.

Pilihan raya umum pada 1999 menyaksikan Terengganu di bawah kepemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ‘terlepas’ daripada BN ke tangan PAS kerana ‘gelombang hijau’ begitu ketara dalam kalangan kakitangan awam. Pendekatan ‘Acu Ubah Sekali’ berjaya menguasai minda kakitangan awam yang akhirnya mengundi pembangkang, selain faktor ‘cah keting’ dalam kalangan kepemimpinan UMNO negeri ketika itu.

Keprihatinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang menghargai usaha CUEPACS mahu menjelaskan secara terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA memperlihatkan komitmen beliau yang mahu isu ini diselesaikan segera.

“Tujuan kerajaan ialah membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi jika mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan supaya perkara itu boleh ditangani,” katanya sekali gus menggambarkan ruang perbincangan antara JPA dan CUEPACS masih terbuka luas.

Kita berharap ‘kata dua’ Abu Bakar sebelum ini hanya penjawat awam yang mempunyai alasan munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh 31 Disember ini seperti sakit atau berada di luar negara dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama, sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan dikaji semula demi mendapatkan keadaan ‘sama-sama menang.’

Dasar pemisah atau exit policy yang ketika ini menjadi isu utama SBPA sewajarnya diteliti semula bagi mengelakkan pandangan kononnya dasar itu sama seperti mahu dilaksanakan pembangkang, terutama DAP bagi mengurangkan jumlah kakitangan awam jika berjaya menguasai Putrajaya. Berita Harian,Oleh Azhar Abu Samah

18 December 2011

SBPA: " TUNGGU SEHINGGA KAMI JUMPA PM"




SHAH ALAM 17 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kakitangan awam tidak menandatangani surat opsyen menerima skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sehingga wakil mereka bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, satu pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 22 Disember ini di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini bagi meluahkan kekecewaan mereka mengenai kelemahan skim baru itu.
Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu nanti, pihaknya akan memaklumkan mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam SBPA kerana ia dibimbangi menganiayai kakitangan awam.
"Saya yakin Perdana Menteri sendiri pun tidak tahu wujudnya kelemahan dalam pengenalan skim ini kerana tidak diberi penjelasan terperinci oleh pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menerangkan kepada beliau dan kami yakin beliau akan faham dengan masalah kami.
"Justeru, kami menggesa setiap kakitangan awam supaya tidak menandatangani surat opsyen menerima skim berkenaan sehingga kami selesai pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kali Ke-11 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) di Hotel Carlton Holiday di sini hari ini.
SPBA diumumkan oleh Najib pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300.
Omar berkata, menerusi SBPA mereka yang menerima markah kurang daripada 70 selama tiga tahun berturut-turut selepas dibuat penilaian oleh pegawai mereka akan dinasihatkan untuk bersara awal.
"Ini hanya akan mewujudkan budaya bodek pegawai dan selepas ini kita akan lihat ramai kakitangan sokongan keluar untuk minum teh tarik bersama pegawai mereka di kantin pejabat supaya mereka akan dinilai dengan markah yang baik setiap tahun.
"CUEPACS bukan menolak cadangan untuk mewujudkan kakitangan awam berprestasi tinggi tetapi kami yakin ada cara lain untuk menentukannya," jelasnya.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam ketika ditemui pemberita di Seri Kembangan hari ini berkata, CUEPACS perlu menjelaskan secara lebih terperinci kepada kerajaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap SBPA supaya ia dapat ditangani secepat mungkin.
Beliau berkata, perbincangan lanjut dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan antara cara terbaik dalam membantu kerajaan mengambil langkah yang dapat menggembirakan semua pihak.
"Tujuan kerajaan ialah untuk membuat penambahbaikan dan peluang tambahan kepada anggota perkhidmatan awam, tetapi kalau ini mendatangkan isu, CUEPACS kena jelaskan kepada kerajaan supaya perkara itu boleh ditangani dan semua orang puas hati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Dr Ambedkar di Seri Kembangan hari ini.

16 December 2011

PERHIMPUNAN PENJAWAT AWAM ANJURAN CUEPACS

TAJUK : BANTAHAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

TARIKH: 18 .12. 2011 (AHAD)
MASA: 3.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN CIDB, JALAN CHAN SOW LIN, CHERAS,
KUALA LUMPUR


SEMUA PENJAWAT AWAM DIJEMPUT HADIR

BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH





KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari bermula kelmarin membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana, di sini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara.

Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

“Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan.
“Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh
negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya.

SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun.

Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah.

Berita Harian, Adha Ghazali

15 December 2011

SBPA : CUEPACS BANTAH, ARAH STAF KERAJAAN TIDAK TANDATANGAN BORANG OPSYEN





KUALA LUMPUR, 15 Dis – Cuepacs hari ini mengambil pendirian membantah pelaksanaan opsyen sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menggesa kakitangan awam jangan menandatangani borang penerimaan skim gaji baru itu sehingga pihaknya mengadakan pertemuan dengan perdana menteri minggu depan.
Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata pihaknya bukan menolak SBPA tetapi membantah pelaksanan opsyen kerana tidak cukup maklumat dan kurang penjelasan khususnya perubahan gaji.
“Kami memutuskan untuk membantah pelaksanaan opsyen SBPA, kita mahu jumpa perdana menteri pada 19 Disember ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider di Perlis.
Seramai 1.4 juta kakitangan awam diberi masa dua minggu mulai esok untuk menerima opsyen sistem SBPA.
Azih berkata pihaknya akan menjelaskan kepada perdana menteri alasan-alasan pihaknya membantah pelaksanaan opsyen dan beberapa perkara lain yang berkaitan.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adakan program jelajah, tetapi tidak memberikan penerangan dan penjelasan terperinci mengenai pelaksanaan SBPA, carta perubahan gaji tidak diberikan, tiada maklumat mengenai dasar pemisah atau exit policy.
“Kakitangan awam yang menghadiri taklimat diberi borang opsyen dan diminta tandatangan terus, walaupun tidak faham dan kurang maklumat,” kata beliau.
Cuepacs mengadakan mesyuarat kongres di Kuala Perlis hari ini bagi membincangkan pelaksanaan SBPA, yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Opsyen menerima SBPA akan dibuka mulai esok. Ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati antara lain berkaitan peratusan kenaikan gaji dan dasar pemisah atau ‘exit policy’.
Pekeliling SBPA dikeluarkan 7 Disember lalu.
Semalam, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata, “(mesyuarat) kongres (di Kuala Perlis) khusus membincangkan SBPA kerana taklimat JPA kepada kami hanya menyentuh perkara dasar.”
“Kami juga tiada maklumat tambahan selain pekeliling yang diedarkan,” katanya.
Katanya, tempoh dari 16 hingga 30 Disember ini yang diberi JPA kepada penjawat awam untuk menandatangani surat tawaran SBPA juga terlalu singkat.
“Pada pengetahuan kami tawaran JPA melalui SBPA seolah-olah penjawat awam tiada pilihan. Macam mana kita hendak setuju terima jika kandungan penuh tawaran tersebut tidak jelas,” kata Omar.
Tambah beliau, hasil taklimat Cuepacs dalam jelajahnya ke sembilan buah negeri sehingga hari ini ramai anggota-anggotanya menyatakan mereka tidak memahami dengan jelas SBPA.
Antara perkara utama dibangkitkan mereka ialah prestasi bagi yang mendapat markah tinggi adakah benar akan mendapat apa yang dijanjikan dan kesannya kepada yang mendapat markah kurang dari 70, tambah beliau. G Manimaran,Malaysia Insider

13 December 2011

SBPA: CUEPACS NASIHAT PENJAWAT AWAM TUNGGU KEPUTUSAN KONGRES



KOTA BAHARU, 11 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam agar menunggu keputusan kongres khas kesatuan minggu depan, sebelum menerima Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Presidennya Datuk Omar Osman berkata ini kerana kongres yang akan diadakan selama tiga hari bermula Rabu itu, akan meneliti dan membincangkan secara terperinci semua aspek dalam SBPA.

"Kita memang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam tetapi kita tidak boleh membuat keputusan kerana kita mahu mendengar semua pendapat penjawat awam termasuk semua wakil gred dalam perkhidmatan mengenai skim baru itu.

"Kita akan buat keputusan bersama. Kalau yang kurang di mana mahu tambah, kalau mahu kaji yang mana mahu dikaji semula," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Cuepacs, di sini.

Katanya adalah penting bagi penjawat awam memahami dengan jelas skim tersebut sebelum membuat sebarang keputusan bagi mengelakkan sebarang masalah selepas ini.

Omar berkata terdapat juga rungutan mengenai tempoh menandatangani persetujuan memilih skim itu yang terlalu singkat dari 15 hingga 31 Dis ini, memandangkan ramai penjawat awam sedang bercuti pada tempoh tersebut.

Selain itu katanya, mereka juga masih tidak mendapat gambaran sebenar apa yang terkandung dalam SBPA.

Omar berkata kongres yang akan diadakan di Perlis itu juga akan membincangkan keperluan memohon kepada kerajaan agar melantik seorang senator bagi mewakili kepentingan penjawat awam. BERNAMA